Wartawan Meja Mahkamah Utusan Malaysia ketika itu, Kamariah Ahmad sempat bertanya kepada Mona mengenai apa yang akan dilakukannya sewaktu menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Mona menjawab ringkas, “senyum.” Sepatah perkataan itu jugalah yang menjadi tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 11 Februari 1995.

Mahkamah tersebut memutuskan hukuman mati terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Mona dan suaminya, Nor Affendy Abdul Rahman serta pengikut mereka, Juraimi Hussin setelah panel tujuh juri sebulat suara mendapati mereka bersalah membunuh Mazlan pada pukul 10 malam, 2 Julai dan 12 malam, 8 Julai 1993.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, me­reka membunuh dan memotong kepada 18 kerat badan ADUN tersebut dan daging­nya dilapah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, Raub, Pahang. Pembunuhan kejam tanpa sekelumit rasa perikemanusiaan itu dilakukan oleh pasangan bomoh itu bersama Juraimi sebelum mayat Mazlan ditanam di dalam lubang sedalam 1.8 meter di rumah tersebut.

Permukaan lubang itu kemudian disimen bagi mengelak kegiatan mereka dikesan. Namun, ia terbongkar selepas polis yang menjejak kehila­ngan Mazlan, menahan dan menjalankan siasatan ke atas mereka yang membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Sehari sebelum itu, Utusan Malaysia pada 10 Februari 1995 melaporkan bahawa perbicaraan kes tersebut berjalan selama 69 hari sepanjang lima bulan yang melibatkan sebanyak 76 saksi pendakwa raya dan peguam bela dipanggil.

Sejumlah 238 barang kes di­ke­mukakan kepada mah­kamah antaranya termasuk ka­pak yang digunakan oleh Juraimi untuk memenggal leher mangsa.

Turut dikemukakan beberapa geran tanah, kereta milik mangsa, dokumen urusan pindah milik tanah tersebut dan buku akaun.

Tidak ketinggalan dikemukakan juga beberapa barang yang agak pelik dan dikatakan mempunyai ‘kuasa’ seperti tangkal, azimat, keris kecil, tongkat dan songkok yang ko­nonnya ‘sakti’.

Utusan Malaysia pada 2 Ogos 1993 melaporkan bahawa Mona dan suaminya mempelajari ‘ilmu hitam’ dari seorang mahaguru di Jawa Barat, Indonesia sehingga didakwa kononnya memiliki tangkal kebal.

“Mereka berguru di sana setelah tidak berpuas hati de­ngan ‘ilmu putih’ yang diperoleh daripada guru persilatan dan kebatinan, Bapa Supatra dari Medan, Indonesia yang hanya mengajar mengenai penjagaan diri dan perubatan sahaja,” tulis wartawan, Ramli Ismail.

Kes jenayah itu menjadi sensasi dan tumpuan masyarakat apabila beratus anggota polis tambahan dikerah bagi me­ngawal orang ramai yang membanjiri bangunan Mahkamah Majistret Raub pada 3 Ogos 1993 untuk melihat dengan lebih dekat wajah Mona dan Nor Affendy.

Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Penguasa Tan Seng Heng yang mengetuai kawalan keselamatan ketika itu, lebih 2,000 orang berada di pekarangan bangunan mahkamah menje­lang pukul 1 tengah hari.

“Mereka mula berhimpun sejak dari pukul 8 pagi kerana menyangka sebutan kes bermula pada pukul 9.30 pagi. Keghairahan mereka menyaksikan peristiwa itu begitu terserlah sehinggakan ada di antaranya memanjat pokok untuk mendapatkan pemandangan lebih jelas,” lapor wartawan, Yahaya Ahmad.