Kali ini Piala Ovaltine dilangsungkan dalam satu pusingan perlawanan sahaja pada 10 November 1982 atas sebab tertentu dan persetujuan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Malangnya, Fandi Ahmad yang juga wira gol Singapura dalam edisi lalu, kembali membawa igauan ngeri buat skuad negara dengan jaringan hatriknya untuk membenam pelawat 3-1 sekali gus membolehkan tuan rumah menyimpan Piala Ovaltine buat setahun lagi.

Skuad negara bimbingan Jalil Che Din (jurulatih skuad Sukan Olimpik Munich 1972) ketika itu dianggotai antaranya Soh Chin Aun, Salim Mahmud Muhaidin, Dollah Salleh, Serbegeth Singh, Ibrahim Saad, Azizol Abu Haniffah, Ahmad Yusoff, Mohd. Nasir Yusuf, Muhidin Hussin, Hassan Sani dan Zulkifli Hamzah.

Edisi ketiga Piala Ovaltine pula berlangsung pada 3 dan 10 September 1983 dengan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai gelanggang pembuka tirai dan Stadium Nasional selaku tuan rumah penentuan juara.

Tuah ternyata berpihak kepada skuad negara dengan jawatan ketua jurulatihnya berpindah kepada Frank Lord, warga England yang menjadi pilihan FAM selepas membawa Pahang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 1983 dengan menewaskan Selangor 3-1.

‘Si Harimau’ dan ‘Sang Singa’ terikat tanpa jaringan di Stadium Merdeka tetapi hampir 18,000 hadirin penyokong Malaysia hampa atau seperti disogok janji palsu kerana dua minggu sebelum itu anak-anak buah Lord mengadakan latihan di kelab terkenal England, Ipswich Town.

Jurulatih Singapura, Jita Singh dalam laporan akhbar Utusan Malaysia 4 September 1983 berkata, “saya tidak sangka Malaysia yang berlatih di England bermain begini (hambar). Kalau ini caranya, saya rasa Singapura mempunyai peluang untuk menyimpan piala ini sekali lagi.”

Manakan tidak! Skuad negara pimpinan Chin Aun masih kebuntuan gol dan seakan sukar menggugat pelawat yang hadir tanpa Fandi kerana baru berjinak-jinak dengan karier profesional di kelab Bahagian Satu Belanda, Groningen FC.

Kemenangan nyaris menyebelahi Singapura kalau tanpa ketangkasan benteng, Wong Hung Nung mengeluarkan bola rembatan Gerald Louis di depan gawang tuan rumah yang sudah pun menewaskan Rashid Hasan pada minit ke-26 gara-gara tolakan lemah Ahmad Yusoff.

Lain-lain pemain Malaysia ialah G. Torayraju, Chen Wooi Haw, Ahmad, Hassamuddin Hassan dan Zainal Abidin Hassan yang dialih oleh Lord selaku penyerang biarpun awal kariernya bermain fulbek, R. Arumugam, Lim Teong Kim dan Ho Hon Seong.

Di bawah pengurusan (Datuk Abu Bakar Daud, skuad negara yang menjadikan perlawanan tahunan ini sebagai pemanas badan ke Pestabola Merdeka, tiba-tiba mengejutkan tuan rumah 1-0 di Stadium Nasional hasil jaringan Zainal pada minit ke-41 perlawanan 10 September 1983 itu.

Mereka merampas Piala Ovaltine buat kali pertama sambil menyenyapkan Sorakan Kallang oleh 45,000 penyokong tuan rumah kepada kapten Au-yeong Pak Kuan, Malek Awab, V. Sundramoorthy, Salim Moin, K. Kannan, Gerald Louis dan Razali Rashid serta penjaga gol, David Lee.

Edisi terakhir Piala Ovaltine menyaksikan kejayaan Malaysia mempertahankannya selepas menewaskan Singapura 2-1 secara agregat, sekali lagi kedua-duanya menerusi jaringan Zainal. Malaysia menang tipis 1-0 pada 12 Ogos 1984 di Stadium Merdeka dan terikat 1-1 di Stadium Nasional, enam hari kemudian.

Menurut jurulatih tuan rumah, Hussein Aljunied. “Kami hanya tiada tuah. Kalau masuk masa tambahan, kami mampu rampas piala ini kerana Malaysia sudah kepenatan. Namun pemain-pemain saya gementar sehingga selepas rehat sedangkan mereka menguasai dan mengatur rentak perlawanan.”

Sumber: Pusat Maklumat Utusan