KLIA menjadi lambang baharu kecemerlangan Malaysia menandakan kemampuan negara untuk memasuki alaf baharu dalam dunia penerbangan dunia.

Tahun ini genap 21 tahun legasi berharga negara cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu dibina walaupun menghadapi pelbagai halangan dan tohmahan yang datang dari rakyat negara ini dan luar negara yang menyatakan ia projek gergasi Malaysia yang membazir.

Namun, Malaysia memerlukan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa demi keperluan pada masa depannya, kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang sudah tidak dapat menampung kadar penum­pang yang semakin bertambah.

LTSAAS menyumbangkan khidmat sebagai lapangan terbang terbesar negara sejak 33 tahun.

Tersergamnya KLIA baharu, meletakkan Malaysia mempunyai lapangan terbang setan­ding dengan lapangan terbang seperti Heathrow di London, Kansai di Jepun, Changi di Singapura dan Bangkok, Thailand.

Utusan Online pada 27 Jun 1998 memuatkan berita bertajuk PM: Lapangan terbang tercantik dan termurah di dunia melaporkan, KLIA yang menjadi lambang baharu kecemerlangan Malaysia menandakan kemampuan negara untuk memasuki alaf baharu dengan lebih meyakinkan.

Dr. Mahathir dalam ucapannya pada majlis perasmian bersejarah itu mengajak seluruh rakyat supaya berbangga dengan lapangan terbang yang pada pandangan beliau sebagai ‘’yang tercantik dan termurah di dunia.’’

Katanya, KLIA berharga RM10.5 bilion yang siap dibina dalam tempoh 36 bulan dan digelar lapangan terbang abad ke-21 berikutan kemudahan canggih dan teknologi terkini­nya, adalah milik rakyat Malaysia.

EDISI keluaran khas akhbar Utusan Malaysia sempena perasmian KLIA pada 28 Jun 1998.
EDISI keluaran khas akhbar Utusan Malaysia sempena perasmian KLIA pada 28 Jun 1998.

“Sepanjang ingatan saya, tidak ada mana-mana lapangan terbang yang sebesar ini dibina dalam waktu yang singkat dan peruntukan kewangan yang kecil,’’ katanya.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri kabinet, Pengerusi KLIA Bhd, Datuk Clifford F. Herbert serta kira-kira 1,400 tetamu termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam pembinaannya, diadakan di depan bangunan terminal utama lapangan terbang itu, kira-kira 70 kilometer dari ibu kota.

Kemunculan KLIA menjadi kebanggaan Malaysia kerana ia merupakan salah sebuah lapangan terbang terbesar di dunia. Pembinaannya dijalankan oleh KLIAB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, berdasarkan konsep ‘cepat siap’.

Dr. Mahathir menyifatkan KLIA menandakan satu lagi langkah besar ke hadapan dalam sejarah penerbangan Malaysia.

KLIA memaparkan seni bina lapangan terbang tersendiri yang merangkumkan tema simbiosis teknologi tinggi, identiti Malaysia serta dipadankan dengan persekitaran hutan rimba dan menurut Dr. Mahathir, lapangan terbang itu menjadi sebahagian daripada Koridor Raya Multimedia (MSC).

KLIA mempunyai kapasiti untuk menguruskan 25 juta penumpang setahun, dua kali ganda berbanding keupayaan LTSAAS dan satu juta tan kargo setahun. Di bawah fasa pembangunan akan datang, KLIA akan akhirnya menguruskan 100 juta penumpang.

Perdana Menteri berkata, KLIA adalah bukti kebolehan Malaysia membina lapangan terbang bertaraf dunia dengan teknologi futuristik tanpa memusnahkan alam semula jadi.

“Kita semua di Malaysia harus berbangga dengan pencapaian ini. Menyudahkan sesuatu projek yang amat besar seperti ini dalam jangka waktu tidak sampai lima tahun adalah bukti kemampuan kita.’’

Beliau menarik perhatian bahawa KLIA yang tersergam bukan sebuah projek mega yang membazir. Projek itu dibina tepat pada masanya.

“Jika kerajaan tidak membina lapangan terbang ini beberapa tahun lalu ketika ringgit kukuh hari ini tidak mungkin kita binanya sama sekali,”katanya.

Upacara perasmian KLIA pada malam itu bermula dengan doa yang dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya.

Ini diikuti ucapan Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik dan Dr. Mahathir sebelum Tuanku Ja’afar menyempurnakan perasmiannya.

Tuanku Ja’afar kemudian memasukkan replika menara kawalan trafik lapangan terbang itu ke dalam model sebuah glob bagi menandakan pembukaannya. Serentak itu seluruh lampu di terminal lapangan terbang itu dinyalakan, menjadikan KLIA seolah-olah sebutir mutiara jika dilihat dari jauh.

Ini kemudian diikuti dengan persembahan multimedia mengenai kompleks KLIA serta kemudahan yang terdapat di dalamnya serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum negara ini.

Kira-kira pukul 9.45 malam, sebuah pesawat Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia (MAS) melakukan pendaratan pertama yang simbolik di satu daripada dua landasan di lapangan terbang yang dibina di atas kawasan seluas 10,000 hektar itu.

Pesawat B777 Super Ranger yang merupakan pesawat penumpang tercanggih berlepas dari LTSAAS di Subang membawa 150 orang penduduk kampung dari sekitar Sepang.

Pada 13 Ogos lalu, Akhbar Utusan Malaysia melaporkan berita bertajuk Saya bangga dengan KLIA - Dr. Mahathir melaporkan , beliau berbangga dengan KLIA, seperti mana perasaan yang dialaminya pada 1998 semasa merasmikan pembukaan KLIA.