Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ishak Muhamad atau Pak Sako dalam tulisannya “Kemerdekaan mungkin tidak dicapai tanpa peranan Utusan dan wartawan-wartawan Utusan Melayu” dalam buku edisi khas sempena sambutan Ulang Tahun 40 Utusan Melayu pada 29 Mei 1979, menurutnya dalam masa 40 tahun usianya, Utusan Melayu telah berjaya menghidupkan semula semangat dan perasaan kebangsaan Melayu yang telah padam apabila kerajaan Melayu Melaka jatuh pada 1511 Masihi.

“Dan sejak itu, negara mula dijajah oleh bangsa-bangsa asing dari barat dan timur hinggalah Tanah Melayu dan bangsa Melayu sehinggalah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pada empat dekad yang lalu.

“Ada orang-orang Melayu sekarang yang pada ketika Utusan Melayu pertama diterbitkan pada 29 Mei 1939 di Queen Street, Singapura masih belum lahir lagi ke dunia ini yang menyebut-nyebut kononnya partinya telah menumbangkan Malayan Union, para pemimpin besarnya telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Tetapi cubalah orang-orang Melayu memikirkan sekejap dan merenung bersama iaitu tanpa Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika tanpa jasa dan khidmat bakti suci wartawan-wartawan Melayu, penulis dan pujangga Melayu yang telah meniupkan semangat dan api perjuangan itu bolehkah Malaysia Merdeka,” katanya.

Pak Sako yang pernah diangkat oleh Pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak menjadi Pengarang Utusan Melayu yang pertama apabila akhbar itu diterbitkan pada 29 Mei 1939 menjelaskan, malangnya orang-orang yang suka bermegah dengan jasa orang-orang lain itu yang ‘tumpang tenggek’ kini tidak membaca malah mencemuh Utusan Melayu.

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya dalam masa 40 tahun usianya Utusan Melayu, dari dahulu hinggalah sekarang dan mudah-mudahan terus berpanjangan berpuluh-puluh tahun lagi telah membuat ba­nyak sejarah mencatatkan ba­nyak pengalaman suka duka, manis, maung dan akan terus memberi khidmat dikenang atau tidak dikenang, dihargai ataupun tidak oleh bangsa Melayu generasi sekarang.

“Memang benar orang Melayu sekarang punya banyak pilihan dalam pembacaannya. Surat-surat khabar semakin banyak, majalah-majalah tersidai di mana-mana di sepanjang jalan dengan macam-macam nama - Aktual, Diskusi, Dialog, Sarinah, Jelita, Juita di gerai sana-sini. tetapi yang terus ternama terkenal dan menjadi bahan-bahan kajian sarjana. Jika anda mahu tahu dan kiranya anda sudah kehilangan jalan dan matlamat kemajuan bangsa, negara, bahasa dan agama anda, maka akhbar itu ialah Utusan Melayu,” katanya.


PENYAMBUNG LIDAH MELAYU

Jelas Pak Sako, sebagai seorang tua, dan sebelumnya, sukalah beliau memberikan peringatan tulis ikhlas kepada semua pekerja atau kakita­ngan Utusan Melayu bahawa: anda adalah menjadi anggota satu keluarga yang besar dan bahawasanya anda mempu­nyai tugas yang luar biasa yang istimewa iaitu ‘Penyambung Lidah Melayu’ dalam banyak hal perkara dan masalah.

“Anda bekerja di Utusan Melayu ini bukanlah semata-mata ‘makan gaji’ kerana nak cari makan, nak beli pakaian, nak jalan-jalan cari hiburan. Yang sebenarnya dan ini jangan mudah dilupakan bahawa anda berkhidmat kepada negara dan bangsa, tanpa memperhitungkan sangat siapa yang berkuasa dan anda adalah juga pengembang bahasa Melayu, pembiak kebudayaan Melayu. Malah andalah juga pembela, penjamin dan pengawal hidup atau matinya bangsa Melayu dalam tanah air ini.

“Kemajuan Utusan Melayu yang sudah memberi banyak jasa dan khidmat kepada tanah air dan bangsa Melayu istimewaannya dalam pembangunan hari ini adalah banyak bergantung kepada usaha, kesungguhan anda bekerja, perasaan tanggungjawab yang kuat dan kesedaran bahawa anda lakukan.

“Kerjakan dan usahakan hari-hari bukanlah semata-mata kepentingan peribadi tetapi atas segala-galanya ialah kemajuan, keselamatan, kebajikan, kebahagian dan ke­sejahteran kaum anda, tanahair kita bersama, bahasa, agama dan segala sesuatu yang kita sama-sama cintai,”katanya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan