Kisah keberanian Kanang bertempur dengan pengganas komunis di Hutan Korbu Perak pada 1 Jun 1979 antara kisah menarik diabadikan dalam sebuah memoir bertajuk “Kanang: Cerita seorang Pahlawan” (1987) oleh Maznan Noordin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semasa menjalani operasi di Hutan Korbu itu, Sarjan Kanang bersama dua koperal Mohd. Nasir Mohd. Nordin dan Micheal Riman anak Bugat menganggotai Platun Risik Gempur bagi menjayakan Operasi Gerakan Setia 1979 untuk membasmi saki baki pengganas komunis yang masih bersembunyi di kawasan pergunungan tersebut.

Ketika Kanang dan platunnya tiba Hutan Korbu Perak pukul 2.10 petang, mereka berjaya mengesan pergerakan musuh walaupun ketika itu kilat sabung menyabung dan hujan turun dengan lebatnya.

Kanang yang sudah berada di depan sekali berhampiran dengan pengawal musuh dan bersedia bertindak bila-bila masa dengan senjata M16 ke arah sasaran.

“Belum sempat Kanang menembak pengawal itu sudah membuka seluar untuk menyahut seruan alam semula jadi. Rupa-rupanya dia (pengawal) seorang wanita.

“Saya tidak jadi menembak dan membiarkan pengawal wanita itu menghabiskan hajat yang terakhir. Terbit juga rasa berdosa kalau saya membunuhnya ketika dia hendak buang air kecil,” cerita Kanang dalam memoir tersebut.

Kedudukan Kanang berada di sebuah lembah terpaksa mendongak ke arah pengawal wanita itu yang berada di lereng bukit. Sebaik sahaja pengawal wanita itu melepaskan hajatnya, Kanang terus melepaskan tembakan menggunakan senjata M79 ke arah musuh kemudian terus menyandang senjata M16.

“Saya melepaskan tembakan ke arah pengawal wanita di perdu pokok besar tadi dan melihatnya jatuh. Saya terus berlari melepaskan tembakan menaiki bukit tersebut. Tembakan itu berbalas. Pihak musuh juga menghujani peluru ke arah kami” (Kanang: Cerita Seorang Pahlawan 1987: 55)

Dalam drama tembak me­nembak itu Renjer Baharuddin tersungkur akibat terkena tembakan peluruh musuh di perutnya sementara Koperal Micheal terkena tembakan di tangan kanannya

Tembak menembak berterusan. Kanan sempat melemparkan beberapa biji grenad M73. Dentuman kuat kedengaran dalam hujan lebat itu.

“Agi idup agi ngelaban’ (Selagi hidup, selagi melawan!) Saya menjeritkan cogan kata renjer itu beberapa kali. Bunuh! Bunuh! Saya berteriak geram sambil melepaskan tembakan ke arah kedudukan musuh” (Kanang: Cerita Seorang Pahlawan 1987: 56).

Kanang begitu marah kerana seorang renjer sudah mati dan seorang lagi cedera parah di tangan. Sebahagian musuh sudah melarikan diri. Kesan darah yang masih merah bergenang di dalam air hujan.

“Perasaan marah masih membakar dada saya. Saya benar-benar dirasuk. Saya semacam hilang pertimbangan diri. Dengan pantas saya mendapatkan bangkai musuh yang saya bunuh tadi. Saya terus mengeluarkan parang lalu mencantas muka pengganas wanita tadi dan terjatuhlah seketul daging daripada mukanya.

“Darahnya yang masih segar di mata parang saya itu saya jilat. Tidak puas dengan itu, saya pakuk (tetak) pengganas lelaki itu di bahagian kepala dan terburailah otaknya. Saya ambil otak itu sedikit lalu memakannya. Saya percaya jikalau saya tidak berbuat demikian, saya akan terkena badi atau mungkin saya akan tumpas dalam pertempuran-pertempuran lain.

“Hujan masih lagi mencurah-curah bagai meratapi pertempuran itu. Penggeledahan telah dilakukan dan hasilnya dua mayat musuh ditemui, seorang lagi dan seorang wanita. Satu senjata ‘karbin’ lengkap dengan ‘pouches’nya sekali ditemui daripada pengganas wanita itu. Benda-benda lain yang dijumpai di tempat kejadian ialah lapan beg galas musuh, empat plastik hijau dan tiga daripadanya telah siap dipasang dan satu radio transistor kecil yang masih kedengaran bunyinya daripada siaran bahasa Cina” (Kanang: Cerita Seorang Pahlawan 1987: 57)

Pertempuran hebat di hutan Korbu di negeri Perak pada 1 Jun 1979 itu antara sekian banyak pertembungan yang dialami Kanang bersama Platun Risik Gempur yang dipimpinnya dengan saki baki pengganas komunis.

Berdasarkan kejayaan pertempuran yang dialami oleh Kanang di hutan Korbu itu beliau mendapat surat penghargaan daripada pegawai atasannya. “Hasil penilaian mereka terhadap kebolehan saya itulah, maka pada tahun 1980 saya telah dianugerahkan pingat keberanian kedua tertinggi negara iaitu Panglima Gagah Berani (PGB).

“Saya bangga dengan anugerah ini kerana hanya setelah 20 tahun berkhidmat (sebagai renjer) barulah keupayaan saya yang sebenar diakui” (Kanang: Cerita Seorang Pahlawan 1987: 64).

ESOK: DADA, PERUT KANANG DITEMBUSI PELURU