Namun, tiada siapa dapat menyangkal kesan yang di­tinggalkan watak Imam Mihad dalam novel Imam karya Sasterawan Negara kelapan itu yang diterbitkan pada 1995. Novel itu mungkin agak asing bagi generasi muda, namun bagi pemerhati rapat sastera negara, Imam mempunyai impak yang tersendiri kepada perkembangan sastera tanah air.

Perjalanan hidup Abdullah penuh warna-warni. Memulakan dunia pekerjaan seawal usia 19 tahun sebagai penolong penjaga stor di sebuah lombong bijih timah di Pahang, beliau seterusnya bekerja de­ngan beberapa syarikat akhbar. Ketika bekerja untuk Jepun di Acheh, beliau menerbitkan akhbar baharu bernama Acheh Shimbun selain menjadi koresponden beberapa akhbar termasuk Sumatera Shimbun.

Imam adalah novel terpanjang yang pernah dihasilkan beliau. Bekas pengarang Dewan Sastera, Fadli Al-Akiti menyifatkan Imam sebagai sebuah novel yang berani keluar dari kebiasaan novel-novel bertema Islamik.

Penulis tersohor, Nisah Haron pula mengangkat Imam sebagai “novel yang wajar mewakili istilah sastera Islam tulen”. Kata Nisah : “(Imam) Mesti dibaca oleh semua orang yang mengakui dirinya Islam. Inilah kehebatan pengarang yang menulis bukan kerana mahu menang sayembara. Dia menulis dengan sepenuh jiwa dan raga (selama lebih tiga tahun) dan dia benar-benar mahu bukunya dibaca umum”.

Oleh itu, tidak hairanlah novel setebal 705 muka surat ini berjaya memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank bagi kategori Hadiah Novel Nasional (kategori penghargaan buat Pak Sako) pada 1994.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga dikenali sebagai seorang peminat sastera.

Pandangan Abdullah tentang kemenangan novel Imam turut dimuatkan dalam Utusan Zaman melalui rencana yang ditulis Abdul Latip Talib. Menu­wrut Abdul Latip dalam catatan blognya, rencana itu ditulis selepas ‘wawancara tidak formal’ beliau bersama Abdullah di dalam bas ketika mereka mengikuti rombongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) ke Sumatera Barat selepas Imam memena­ngi Hadiah Novel Nasional.

Abdul Latip berkata, Abdullah menjangka novelnya itu akan mencetuskan kontroversi memandangkan ada beberapa perkara sensitif terkan­dung dalam novel tersebut. Abdullah turut berkongsi bahawa judul asal novel tersebut sepatutnya Imam Mihad dan beliau mengambil masa lebih tiga tahun untuk menyiapkannya.

Imam adalah satu lagi anak tangga yang dilalui Abdullah sebelum sampai ke puncak. Selain Hadiah Novel Nasional, karya itu turut diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995. Malah sebelum itu lagi, Abdullah telah menerima Anugerah S.E.A Write Awards pada 1981.

Kemuncaknya, pada 1996, Abdullah menerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdullah telah menghasilkan 27 novel dan antologi cerpen; sebuah drama; sebuah buku esei; sebuah autobiografi; tiga buah biografi dan lima novel terjemahan.

Dalam banyak-banyak karyanya, antara yang terpenting pastilah Kamus Istimewa Peribahasa Melayu yang menjadi rujukan utama korpus peribahasa oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) milik DBP.

Prof. Dr. Asmah Omar malah menyifatkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu sebagai “kamus peribahasa yang lebih lengkap daripada kamus-kamus peribahasa lain yang terdapat dalam bahasa Melayu dan Indonesia’.