Abdul Latiff Abu Bakar dalam bukunya “Ishak Haji Muhamad: Penulis dan Ahli Politik Sehingga tahun 1948” terbitan Universiti Malaya (1977) menyatakan, pada tahun 1930-an dan 1940-an, golongan wartawan memainkan peranan penting dalam proses menggerak dan memberikan kesedaran politik kepada orang Melayu.

ABDUL SAMAD IDRIS pernah disiasat.
ABDUL SAMAD IDRIS pernah disiasat. 

Menurutnya, antara penulis-penulis yang bergerak cergas demi mewujudkan kesedaran politik bagi membela nasib bangsanya ialah Zainal Abdin Ahmad (Za’ba), Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako), Shamsuddin Salleh, Ibrahim Yaakub, Ahmad Boestamam dan A. Samad Ismail.

Wartawan-wartawan terlibat mengalami pelbagai pengalaman pahit dalam hidup mereka akibat disiasat, ditahan dan dipenjarakan oleh pihak British.

Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) merupakan Pengarang pertama Utusan Melayu ketika akhbar tertua di Malaysia itu diterbitkan pada 29 Mei 1939 di Queen Street Singapura, pernah ditangkap dan dipenjarakan selama hampir lima tahun (1948-1953).

“Setelah beberapa hari darurat diisytiharkan pada Julai 1948, Ishak telah ditangkap oleh pemerintah Inggeris di Taiping. Sebelum itu, Ishak telah menerima telegram dari kampung tentang kematian ibunya, tetapi Ishak tidak dapat balik ke Pahang kerana darurat telah diisytiharkan” (Abdul Latiff Abu Bakar 1977: 35).

Menurut Abdul Latiff Abu Bakar, ketika Konfrantasi Malaysia dengan Indonesia pada 28 Januari 1965, Ishak sekali lagi ditangkap oleh Kerajaan Malaysia dan beliau dibebaskan pada 19 Januari 1966.

Wartawan Utusan Melayu di Singapura, Abdul Samad Idris tidak terkecuali pernah disiasat oleh polis pada 30 Jun 1948 iaitu dua minggu selepas Darurat diumumkan kerajaan kerana disyaki menjadi ahli Pembela Tanah Air (PETA).

DUA iklan Malayan Airways yang dikeluarkan di akhbar Utusan Melayu pada Januari 1952. Kedua-duanya m
Iklan Malayan Airways yang dikeluarkan di akhbar Utusan Melayu pada Januari 1952. 

Beliau yang menulis buku 25 Tahun Merdeka (1982) menceritakan rumah beliau di Bukit Terapung, Seri Menanti Negeri Sembilan telah digeledah oleh polis kira-kira pukul 5 petang.

“Awak didapati menjadi ahli PETA (Pembela Tanah Air). Awak tahu PETA telah diharamkan,” beritahu pegawai polis berpangkat Inspektor itu.

GAMBAR DATUK ONN JADI PENYELAMAT

ISHAK HAJI MUHAMAD
ISHAK HAJI MUHAMAD 

Pegawai polis itu berhenti mengeledah apabila terjumpa gambar Datuk Onn Jaafar. Gambar tersebut dibeli oleh Samad Idris daripada Utusan Melayu Singapura yang mencetak gambar pemimpin UMNO.

Menurutnya, selepas tidak menemui sebarang dokumen mengenai PETA, beliau diarah ke Balai Polis Kuala Pilah untuk bertemu OCPD berbangsa Inggeris bernama ‘Tuan Sutton’ yang digelar ‘OCPD Setan’ oleh penduduk tempatan.

“He is UMNO’s member,” teriak Inspektor bernama Mohd Nor itu kepada OCPD Sutton. Akhirnya, Abdul Samad Idris dibebaskan.

Seorang lagi bekas wartawan Utusan Melayu di Singapura, Ahmad Boestamam pernah keluar masuk penjara akibat terlibat dalam politik menentang British.

Kali pertama beliau di penjara semasa terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakub sehinggalah Malaya dan Singapura ditakluki tentera Jepun.

Menerusi Me­moir Ahmad Boestamam: Merdeka Dengan Darah Dalam API (2004) beliau merengkok dalam penjara kali kedua apabila ditangkap pada Khamis 1 Julai 1948 di bawah Undang-Undang Darurat.

Ketika itu beliau menjadi Ketua Satu Angkatan Pemuda Insaf (API) Malaya yang ditubuhkan pada 17 Februari 1946.

Kali ketiga ditangkap semasa berlakunya Konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.

DITUDUH MENENTANG QUEEN, RATU ENGLAND

Bachtiar Djami­ly dalam bukunya “Menyorot: Karir, Peranan, Pandangan, Latar belakang A. Samad Ismail (1985) menyatakan, semasa ditahan kali pertama, beliau dituduh sebagai menghasut rakyat membenci dan menentang Baginda Queen, Ratu England. Penolong Pengarang Utusan Melayu itu pernah ditahan di Penjara Outram Road bersama-sama dengan Karim Rasyid, Bachtiar Effendy, Me­lan Abdullah, Dr. Ghaus Mah­yuddin.

Kali kedua, A. Samad Ismail ditahan lagi oleh British di Singapura di bawah Undang-Undang Darurat 1948 bersama-sama dengan Devan Nair, John Eber, tokoh Malayan Democratic Union (MDU) dan mahasiswa Universiti Malaya Singapura.

Kali ketiga, A. Samad Ismail ditangkap bersama-sama dengan Abdullah Majid dan Abdullah Ahmad.

Menurut Bachtiar, setiap kali A. Samad Ismail ditahan, akhbar-akhbar di Singapura seperti Utusan Melayu, Straits Times dan Singapore Standard memberikan liputan meluas mengenai penangkapannya yang dikaitkan dengan fahaman komunis.

Malah, organisasi Persatuan Wartawan dan Organisasi Persatuan Penerbit Akhbar di beberapa negara, sehinggalah kepada International Press Institute (IPI) dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia memberikan perhatian yang khusus terhadap penahanan A. Samad Ismail, bahkan beberapa universiti menawarkan jawatan pensyarah kepadanya.

“Daripada kejadian dua kali Samad Ismail ditahan di zaman penjajah, ia adalah seorang pejuang, seorang patriot, menjadi kebanggaan kepada nusa dan bangsa, menjadi kemegahan kepada ‘corps wartawan’ di mana juga mereka berada,” (Bachtiar Djamily 1985: 180).