Anwar menyifatkan pemilikan British ke atas bukit seluas 7.2 hektar itu adalah sebagai “sesuatu yang mengguris hati” dan dari segi moral tanah tersebut adalah kepunyaan negara dan mesti dikembalikan semula selepas negara mencapai kemerdekaan.

Isu Bukit Carcosa pernah dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 1981 dan disusuli oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam perhimpunan agung tahun berikutnya.

Akhirnya isu itu mendapat perhatian Kerajaan British apabila bersedia menyerahkan kembali tanah tersebut kepada kerajaan Malaysia. Mingguan Malaysia pada 13 Mei 1984 menyiarkan tajuk utama di muka hadapannya: “British Serah Balik Carcosa”.

Mingguan Malaysia mela­porkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mengumumkan bahawa isu Bukit Carcosa dianggap selesai apabila Kerajaan British menyatakan kesediaan menye­rahkan kembali Bukit Carcosa kepada Kerajaan Malaysia.

Dr. Mahathir menjelaskan, sebagai gantinya, sebidang tanah lain ditawarkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Bri­tish yang terletak di Ampang di mana ba­nyak terdapat kedutaan asing di sana.

AKHBAR Mingguan Malaysia pada 13 Mei 1984 bertajuk “British serah balik Carcosa”. Dr. Mahathir Moham
AKHBAR Mingguan Malaysia pada 13 Mei 1984 bertajuk “British serah balik Carcosa”. Dr. Mahathir Mohamad umum Bukit Carcosa akan digunakan sebagai rumah tetamu kerajaan untuk pelawat-pelawat negara. 

“Dr. Mahathir berkata tawaran tanah ganti tersebut telah diterima oleh pihak British dan mereka akan berpindah sebaik sahaja bangunan baru siap didirikan.

“Beliau juga memberi­tahu bahawa bangunan di Bukit Carcosa dan kawasan sekelilingnya seluas 7.2 hektar akan digunakan sebagai rumah tetamu kerajaan untuk pelawat-pelawat negara” (Mingguan Malaysia 13 Mei 1984).

Berdasarkan catatan sejarah, Bukit Carcosa pernah menjadi kediaman rasmi Residen British, Sir Frank Swettenham. Ia dihadiahkan kepada Kerajaan British pada 12 September 1956 sebagai balasan apabila penjajah Inggeris bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Disember 1957.

Tokoh sejarawan negara dan pensyarah Jabatan Sejarah di Universiti Malaya, Profesor Datuk Khoo Kay Kim dalam artikel “Carcosa, Tasik Perdana Lambang Cinta Swettenham terhadap isterinya” yang disi­arkan dalam Mastika Oktober 1997 mengesahkan tanah Bukit Carcosa adalah milik negara tetapi pernah menjadi kediaman rasmi Sir Frank Swettenham ketika Malaya di zaman penjajahan Inggeris.

Kay Kim menjelaskan Swettenham telah membina kediaman di Bukit Carcosa sebagai lambang kasih sa­yang terhadap isterinya Sydney Swettenham yang amat dicintainya.

“Kediaman di Bukit Carcosa itu dianggap mahligai kecintaannya yang tidak bertepi terhadap Sydney. Malah Tasik Perdana juga telah diberi nama Sydney Lake sempena nama isterinya” (Khoo Kay Kim 1997.

Menurut Kay Kim, keistimewaan Frank Swettenham sukar ditandingi pegawai-pegawai Inggeris di Malaya ketika itu kerana beliau amat fasih berbahasa Melayu dan mengetahui selok belok adat istiadat orang Melayu dan boleh berbahasa dalam pelbagai loghat daerah termasuk memahami bahasa Orang Asli.

Kay Kim menyatakan, Residen British itu seorang yang pakar tentang orang Melayu dan pernah menjelajah hampir kese­mua negeri di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Kelantan, Pahang dan Terengganu dengan menggunakan jalan darat dan berakit di sungai.

Menurutnya, apabila British mula campur tangan, Swettenham dihantar menjadi pembantu Residen di Selangor dan bersahabat baik dengan Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ketika itu.

Pada tahun 1901, Swettenham diangkat menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menggantikan Sir Charles Mitchell.

“Swettenham banyak memainkan peranan memba­ngunkan negeri-negeri Mela­yu yang pada masa itu tidak memiliki infrastruktur termasuk membina jalan kereta api, antaranya dari Gemas ke Johor Bahru” (Khoo Kay Kim 1997: 41).