Ahli-ahli Arqam yang ditahan itu seterusnya dibawa ke Balai Polis Pe­taling Jaya de­ngan diiringi dua buah kereta peronda polis yang turut membunyikan sirennya.

Pukul 6 petang 29 Ogos itu Zabidi melaporkan kes penang­kapan ahli-ahli Al-Arqam itu untuk makluman Ustaz Ashaari yang ketika itu berada di Chiengmai, Thailand.

BUKU Barat Di Ambang Maut oleh Ashaari Muhammad.
BUKU Barat Di Ambang Maut oleh Ashaari Muhammad.

Apabila diberitahu mengenai perkara itu Sheikhul Arqam itu terus berkata: “Ini perancangan Mahathir dan Rahim Noor, Zabidi!”.

Zabidi mengiyakan saja.

“Agak-agak Zabidi lepas ini apa PM dan Rahim Noor akan buat kepada kita?” tanya Ustaz Ashaari lagi.

Ustaz Ashaari menyambung lagi: “Mereka ada satu lagi senjata terakhir yang masih belum mereka gunakan ke atas kita, agak-agak Zabidi apa dia senjata itu?”.

Tapi Zabidi masih tidak dapat menjawab soalan tersebut.

“ISA,” sambung Us­taz Ashaari.

“Jangan bimbang Za­bi­di! Kalau dia (Mahathir) guna ISA ke atas kita itu tandanya,mereka dah terde­sak sangat. Lepas ni kalau PM guna ISA, hanya dua perkara sahaja yang akan berlaku, kalau tidak dia hancur, kita hancur.

“Tapi yakinlah Zabidi, yang akan hancur pastilah mereka sebab Jemaah kita ‘dijanjikan’ dan perjua­ngan kita dalam ‘Jadual Allah’. Apa yang berlaku ini semuanya dalam Jadual Allah. Daulah sudah hampir,” pesan Ustaz Ashaari kepada Zabidi.

Menurut Zabidi, itulah perbualan terakhir antara beliau dan Ustaz Ashaari sebelum mereka berdua disumbat ke dalam sel tahanan ISA. Ustaz Ashaari ditangkap di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam negeri.

Zabidi pula ditahan pada pukul 11.55 malam 6 September 1994 selepas menjamu satay di Medan Mara Kajang.

“Saya tidak menyangka yang saya akan ditangkap pada malam itu. Pada fikiran saya sebelum ini, mungkin penangkapan saya akan melibatkan babak kejar mengejar seperti yang biasa kita lihat dalam te­levisyen. Tapi saya ditangkap selepas makan satay! Tangkapan yang tak glamor langsung,” tulis Zabidi lagi dalam bukunya Tersungkur di Pintu Syurga.

Selepas dibebaskan Zabidi diberitahu para pemimpin Al-Arqam lain apabila mendapat tahu beliau ditangkap telah lari lintang pukang menyelamatkan diri. Malah ada pemimpin Al-Arqam yang lari dan menyorok di Hulu Tembeling, Pahang.

Selepas penangkapan Zabidi, PDRM menyerbu secara terancang ke semua premis Al-Arqam termasuk perkampungan-perkampungan, markas-markas perhubungan, se­kolah-sekolah Al-Arqam dan merampas semua peralatan-peralatan komputer dan peralatan lain yang digunakan untuk membuat dan mence­tak ri­salah.

Malah, ramai juga dalam ka­langan ahli-ahli Al-Arqam lelaki dan wanita turut ditahan di lokap-lokap seluruh negara. Sebahagiannya ditahan reman di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Zabidi dalam bab 12 Ja­wapan Dari Allah: Akibat Terlalu Taksub dalam buku tersebut menjelaskan kerana taksub melulu terhadap Ustaz Ashaari dan kejahilan menyebabkan mereka terperangkap dalam ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Taksub kami kepada Ustaz Ashaari telah menjadikan kami buta. Buta mata dan buta hati. Saya dan pe­mimpin-pemimpin Al-Arqam yang lain turut sama bersalah kepada agama Islam yang suci ini.

“Begitu juga kami rasa berdosa yang amat sangat kepada junjungan kita Rasulullah SAW kerana taksub kami kepada pemimpin kami secara tidak sengaja telah merendahkan martabat kerasulannya” (Zabidi Mohamed 1998: 256).

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Hari Itu Sudah Berlalu (2011), Ashaari mendakwa beliau daripada keturunan Bani Tamim yang serumpun dengan keturunan Nabi Muhamad SAW yang memegang panji-panji Al-Mahdi.

“Yang lebih menggugat orang Islam di negara ini ialah apabila Al Arqam menggalakkan poligami dengan sewenang-wenangnya tanpa menghormati peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama atau Pejabat Kadi yang menyebabkan kerosakan keharmonian agama dan kepinca­ngan dalam masyarakat Islam.

“Oleh kerana pergerakan itu semakin mengancam akidah umat Islam dan keselamatan negara, akhirnya Ashaari dan beberapa pemimpinnya telah ditahan di bawah Akta Ke­selamatan Dalam Negeri (ISA) dengan kerjasama Kerajaan Thailand di bawah Ops Serban,” tulis Zainuddin.

  • Esok: Al-Arqam eksploitasi wanita, kanak-kanak.