Pojok Awang Selamat pada 20 Mei 1990 bertajuk “Di mana Haji Ashaari bersembunyi?” menyatakan, menurut laporan berita itu Ashaari telah ke luar negara bersama dua orang pemimpin kanan gerakan itu, Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Syeikh Hussein Syeikh Omar ke destinasi yang tidak dinyatakan.

“Di dalam tahun yang sama, seorang penyokongnya telah menghantar poskad dari Bangkok kepada Utusan memberitahu kononnya ketua mereka itu sedang menjalankan gerakan dakwah di Bangkok dan ada pula yang mengatakan dia (Ashaari) berada di Singapura.

“AL-ARQAM diharamkan”, dilaporkan pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Ogos 1994. Majlis
“AL-ARQAM diharamkan”, dilaporkan pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Ogos 1994. Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan semua jenis kegiatan, ajaran dan fahaman yang menjadi pegangan kumpulan Al-Arqam berkuatkuasa mulai 5 Ogos 1994 di seluruh negara. 

“Bagaimanapun pemimpin Al-Arqam ini boleh menyembunyikan dirinya dari pihak-pihak lain tetapi sukar untuk menghilangkan diri dari akhbar Awang atau pandangan Awang,” tulis Awang Selamat lagi.

Wartawan Mingguan Islam, Mohd. Sayuti Omar yang diberi kepercayaan mengikuti rombongan Syekhul Arqam mengembara ke Mesir dan Pakistan pada 1988 berjaya mencungkil segala rahsia terutama terhadap sikap dan perjuangan Ustaz Ashaari sebagai pemimpin tertinggi Al-Arqam yang sedang dilanda kontroversi itu.

Sayuti menulis dalam bab tujuh, Problem Darul Arqam (1989) menyatakan berdasarkan wawancara bersama Ustaz Ashaari ketika berada di luar negara, Shekhul Arqam itu berazam mahu berjuang menegakkan hukum Allah di muka bumi ini.

“Apa yang kita perjuangkan melalui Arqam ialah untuk menegakkan hukum Allah. Kita mahu semua manusia menegakkan hukum Allah yang lima, wajib, sunat, makruh, haram dan halal. Kita mahu semua manusia di muka bumi ini menegakkan itu sungguh-sungguh, tidak hanya dalam bahagian tertentu sahaja. Kita mahukan semua orang khasnya orang Islam mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran dan kita mahukan negara Islam.

“Bila sebut negara Islam, kita bukan hendak menjadi pemimpin ataupun menguasai Malaysia atau pun dunia ini dengan kekuasaan politik. Tidak. Kita tidak mahu kepada kekuasaan. Apa yang kita mahu ialah memastikan negara Malaysia ataupun dunia benar-benar menegakkan hukum Allah berkenaan. Kita mahu kecemerlangan Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat dulu bangkit kembali.

“Kita tidak hendak jadi Perdana Menteri, PM berikanlah kepada Mahathir atau sesiapa yang layak. Kita tidak mahu jadi Yang Berhormat, jawatan Wakil Rakyat berikanlah kepada orang yang mahu. Dan kita tidak mahu apa-apa jawatan. Yang kita mahu ialah mereka menegakkan hukum Allah, itu sahaja.

“Bila mereka sudah menegakkan hukum Allah, kerajaan sudah mengambil Islam sebenar sebagai undang-undang negara, itu bermakna perjuangan kita telah berjaya. Kejayaan perjuangan itu bukan semestinya nanti kita jadi Perdana Menteri, baru berjaya, tidak begitu. Kita berjaya bila idea dan kemahuan kita dapat dipenuhi,” beritahu Ustaz Ashaari (Mohd. Sayuti Omar 1989: 103).

Ashaari menerusi buku Berhati-hati Membuat Tuduhan (1989)menyatakan, beliau pada mulanya mahu berdiam diri saja terhadap pengharaman buku Aurad Muhamadiyyah Pegangan Darul Arqam oleh negeri-negeri dan Pusat Islam.

“Antara maksud saya menulis buku ini ialah memberitahu orang ramai bahawa saya dan Darul Arqam tidaklah seburuk sebagaimana dilaporkan. Pada saya itu semua adalah fitnah semata-mata.

“Menurut Islam seseorang yang dihina harus mempertahankan diri, kalau difitnah, sunat mempertahankan diri dan kalau disesatkan, wajib mempertahankan diri” (Ustaz Ashaari 1989). Menerusi buku Berhati-Hati Membuat Tuduhan, Ashaari secara sinis mengecam Utusan Malaysia yang secara berterusan berhajat untuk menjahanamkan gerakan Al-Arqam tetapi belum berhasil.

“Darul Arqam sejak 20 tahun dahulu, sering menerima tuduhan, fitnah, kata nista dan tentangan dari berbagai pihak, khususnya Utusan Malaysia.

“Siapa yang tidak senang atau tidak faham atau rasa tercabar dengan Darul Arqam, akan bekerjasama atau diperalatkan oleh akhbar Utusan Malaysia untuk memukul jemaah ini habis-habisan.

“Seringkali bila mendapat peluang untuk menjahanamkan Darul Arqam, maka Utusan Malaysia merasakan itulah paku terakhir untuk keranda Darul Arqam. Sesudah itu Utusan Malaysia berharap untuk menghantarnya ke pusara untuk terus berkubur selama-lamanya. Malangnya, bagi Utusan Malaysia percubaan dan harapannya hingga kini belum berhasil. Najis-najis yang dicampakkan ke atas Darul Arqam tidak membunuh tetapi bertukar menjadi baja dan menyuburkan lagi kegiatan Darul Arqam” (Ustaz Ashaari Muhammad 1989: 3).

  • ESOK: Ashaari di tahan 
di bawah ISA.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan