Menurutnya kalau ada orang-orang yang berkata, bahawa sumbangan akhbar di tanah Melayu kepada perjuangan merebut kemerdekaan terlalu kurang maka sesungguhnya tuduhan itu sangat tepat.

“Tetapi, jika ada orang yang berani mengatakan bahawa suratkhabar-suratkhabar dan wartawan-wartawan Melayu tidak memberikan sumbangan dalam perjuangan mendorongkan negeri ini ke arah kemerdekaan, maka tuduhan itu sebenarnya datang dari orang atau orang-orang yang sebenarnya tidak mengetahui sejarah negeri ini daripada segi nasional,”katanya.

Berikut tulisan penuh Yusof Ishak:

Akhbar-akhbar Inggeris dan lain-lain akhbar yang diterbitkan bukan dengan modal Melayu semenjak lebih 100 tahun, baik di Singapura, mahupun di Persekutuan Tanah Melayu, boleh dikatakan semuanya berdiri di belakang dan menyuarakan suara penjajahan dan kaum modal, sebab boleh dikatakan tuan-tuan punya akhbar yang bukan Melayu itu adalah orang-orang yang datang daripada kalangan kaum modal yang telah merasa nikmat dan perlindungan pihak penjajah dan yang demikian tidaklah akan menghairankan jika sekiranya suratkhabar-surat khabar itu tidak menghiraukan langsung akan nasib rakyat apatah lagi mencuba hendak mengubah corak perlembagaan atau pemerintahan negeri ini sesuai dengan cita-cita rakyat.

Hanya akhbar-akhbar Melayu kepunyaan orang-orang Melayu dan sebuah dua suratkhabar-surat khabar Melayu kepunyaan orang-orang Islam yang bukan Melayu yang ada menunjukkan tanda-tanda tak puas hati dengan cara pemerintahan Inggeris dan perbuatan-perbuatan yang manis, tetapi membahayakan bangsa Melayu di tanah Melayu ini.

Perasaan tidak puas hati mengenai pentadbiran dan perjalanan pemerintahan negeri ini serta layanan yang diberikan kepada orang-orang Melayu, memang telah lama terbuang dan rasa tak puas hati itu dibayangkan menerusi surat khabar-surat khabar atau di dalam majalah-majalah.

Antara surat khabar-surat khabar dan majalah-majalah yang mengambil bahagian penting menanamkan semangat kesedaran dan menyediakan halamannya untuk tulisan-tulisan, fikiran-fikiran dan pendapat itu ialah majalah bulanan pengasuh yang terbit di Kota Bharu, Kelantan (1918), Al-Ikhwan dan juga surat khabar Saudara, kedua-duanya terbit di Pulau Pinang pada 1930.

Penulis-penulis pada masa itu membayangkan perasaan dan menanam semangat bukan sahaja daripada segi kebangsaan, tetapi juga menerusi segi agama dan yang demikian ada beberapa buah majalah yang diterbitkan oleh ahli-ahli agama atau ulama-ulama di beberapa tempat di tanah Melayu ini seperti di Kelang. Muar, Kota Bharu dan Kuala Pilah.

Tetapi oleh kerana kebanyakan dari majalah-majalah itu merasa bimbang kerana hukuman, semangat kebangsaan itu hanya dapat dinyatakan dengan cara kiasan-kiasan dan sindiran atau petikan dari ayat-ayat al-Quran serta hadis dan yang demikian agak sulit juga pihak yang berkuasa hendak menuduh dengan tepatnya tujuan-tujuan dan maksud-maksud rencana itu.

Walaupun pemerintahan Inggeris di dalam negeri ini dikatakan berdasarkan demokrasi, tetapi sebenarnya demokrasi itu hanya pada namanya sahaja. Kebiasaan bersurat khabar sebenarnya tidak ada. Pendeknya pada waktu itu tiada sesiapa yang berani mengkritik pemerintah.

Mengingat kejadian-kejadian ini, saya rasa, jasa-jasa pengarang-pengarang dan pejuang-pejuang bangsa yang lama dan yang telah lebih mula menerima panggilan dan telah tidak dapat melihat ha­sil-hasil perjuangan yang mereka mulakan dengan azam yang kuat dan ketabahan hati patut sangat dikenangkan.

Seperkara lagi yang harus kita ingat dan kenangkan ialah pengorbanan dan ketabahan hati pengarang-pengarang dan pujangga itu.

Bilangan naskhah dan jualan suratkhabar-suratkhabar atau majalah pada masa kira-kira 40 tahun dulu sangatlah kecilnya. Orang-orang yang cenderung membaca pada masa itu jumlahnya pun terlalu kecil, ada di antara majalah atau suratkhabar itu hanya 100 atau 200 naskhah sahaja pada satu keluarannya dan genapnya usia akhbar-akhbar atau majalah-majalah itu tidak lama.

Tetapi keadaan yang demikian tidak berkekalan, perubahan sentiasa berlaku dari satu ke satu masa, jalan berfikir orang -orang kita Melayu pun mulai berkisar dari bibit-bibit yang ditanam oleh pengarang-pengarang yang terdahulu itu dan kerana yang demikian semenjak 1930 akhbar-akhbar Melayu yang dimulai oleh orang-orang Melayu atau Arab dan juga orang-orang India mulai bergerak secara besar-besaran.

Begitupun kecuali suratkhabar Majlis yang dipu­nyai dan dimodali oleh orang orang Melayu di Kuala Lumpur akhbar-akhbar yang lain lebih mementingkan warta berita dan buah-buah fikiran yang hampir serupa dengan fikiran-fikiran surat khabar Inggeris tempatan.

Hampir tiada langsung mengambil bahagian atau memberi sumbangan kepada semangat perjuangan atau mengarahkan fikiran umum untuk mencapai kemerdekaan negeri ini.

Akhbar Majlis sungguhpun di dalam ruangan pengarangnya jarang-jarang se­kali memberi fikiran yang membayangkan perjuangan kemerdekaan, tetapi sekali sekala menyiarkan rencana-rencana yang ditulis oleh beberapa orang yang bersema­ngat kebangsaan Melayu yang sentiasa memasukkan jarum menentang penjajahan di dalam rencana-rencana mereka. Antara mereka masih lagi ada sekarang ini sungguhpun sebegitu tidak lagi mengambil peranan yang besar dalam masa yang akhir-akhir ini.

YUSOF ISHAK
Pengasas, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang 
Utusan Melayu.