Namun, kisah kemampuan Adi Putra Abdul Ghani yang baru berusia enam tahun berjaya menjawab soalan matematik sepantas kalkulator pada 2005 begitu luar biasa, mengagumkan ramai orang termasuk pakar-pakar matematik tempatan sehinggakan kisah kanak-kanak itu sentiasa menghiasi dada akhbar-akhbar tempatan

Akhbar Mingguan Malaysia pada 20 November 2005 melaporkan tajuk di muka hadapannya: “Budak 6 tahun kuasai ilmu matematik”.

“Dia cuma berusia enam tahu. Istimewanya kanak-kanak ini, dia bukan sahaja boleh membaca tetapi berupaya menguasai kemahiran matematik pada tahap universiti.

SENI Matematik Islam oleh Adi Putra Abdul Ghani (2011).
SENI Matematik Islam oleh Adi Putra Abdul Ghani (2011).

“Disebabkan kebolehan luar biasa itu, kanak-kanak tersebut kini menjadi rujukan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah. Adi Putra, anak kepada Abdul Ghani, seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikesan memiliki kepintaran itu sejak berusia lima tahun.

Dalam usia semuda itu, dia telah mampu mencetuskan formula-formula baru dalam bidang matematik” (Mingguan Malaysia 20 November 2005).

Dalam rencana bertajuk Bu­dak genius Jadi ‘guru’ yang di­siar­kan oleh Mingguan Malaysia pada 27 November 2005 menyatakan, pada usia lima tahun, kebanyakan kanak-kanak sudah pastinya tidak boleh membaca, mengira atau membuat apa sahaja yang bersifat akademik.

“Tetapi, bagi Adi Putra Abdul Ghani pada usia semuda itu beliau mempunyai kebolehan luar biasa yang mungkin tidak terdapat pada kanak-kanak lain.

“Kanak-kanak yang tinggal di pinggir Bandar Bagan Serai, Perak ini sudah boleh mengira sejak lima tahun lagi. Budak lelaki yang kini berusia enam tahun itu dan masih belum bersekolah bukan sahaja boleh membaca dan mengira tetapi mempunyai kepintaran luar biasa dalam bidang matematik” (Mingguan Malaysia 27 November 2005).

Menurut Mingguan Malaysia lagi, Adi Putra dikesan memiliki kepintaran genius sejak lebih awal lagi kerana mencetuskan formula-formula baru dalam bidang matematik yang hanya boleh dilakukan oleh profesor matematik di universiti.

Ekoran kelebihan luar biasa yang dimiliki Adi Putra itu, kanak-kanak berkenaan menjadi ‘guru’ di kampungnya. “Adi Putra menjadi guru bukan sahaja kepada kanak-kanak sebaya dan lebih tua daripadanya tapi juga guru-guru dan murid-murid yang mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta pelajar-pelajar di peringkat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)” (Mingguan Malaysia 27 November 2005.

Adi Putra juga pernah menunjukkan kepintaran di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru, Kuala Kurau, Perak apabila memberikan jawapan betul dan pantas mengalahkan 19 guru dan 230 murid tahun satu hingga enam di sekolah berkenaan.

“Malah, kanak-kanak itu hanya mengambil masa kurang satu minit menjawab soalan asas matematik, manakala soalan peringkat sekolah menengah dan asas universiti pula kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan ingatan.

ADI PUTRA menunjukkan jawapan hasil darab yang dikiranya ketika diuji pada 5 Julai 2007.
ADI PUTRA menunjukkan jawapan hasil darab yang dikiranya ketika diuji pada 5 Julai 2007.

“Kepintaran luar biasa Adi Putra juga diakui dan diuji oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Tenaga Manusia dan Multimedia Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir. “Adi Putra seorang kanak-kanak yang mempunyai kepintaran yang luar biasa dan dia memang terlalu hebat lebih-lebih lagi dalam bidang matematik. Saya menganggap Adi Putra sebagai aura yang terlalu hebat sehingga kini dia dianggap satu ‘misteri’ dengan ke­le­bihan dan kebijaksanaannya yang saya anggap boleh mengira sehingga ke tahap trilion dengan kecekapan lebih daripada komputer lagi,” kata Dr. Zambry (Mingguan Malaysia 27 November 2005).

Zambry menganggap Adi Putra seorang budak yang hebat lagi genius dan kerajaan Perak bersedia membantunya dan turut meminta Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius kepada Adi Putra agar potensi dan pencapaian yang luar biasa yang dimilikinya itu dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia.